HijriDate

Sunday, May 28, 2006

Sinar Hati Kama

Oleh Mohamad Fairuz Tamjis - SUKEJ 109
Hati ini dirundung muram. Jiwaku rasa tidak tenteram. Petang itu, aku duduk termenung keseorangan. Mataku melihat ke taman berhadapan balkoni rumahku, namun fikiranku jauh melayang mengenangkan kisah semalam.

“Apa yang kau menungkan tu Fif? Jauh benar kau terbang… sampaikan aku ajak minum pun kau tak dengar, ada musykilah ker?” Sapa Akhmal memecah lamunanku.

“Eh… kau Mal. Aku tak ada apa-apalah” Jawabku ringkas, seolah tidak mahu diganggu. Aku terus memandang ke taman. Kelihatan Ammu Omran sedang menyiram jambangan pokok bunga di situ. Itu memang sudah tugasnya. Taman-taman di sekitar Syurtah Askariah Haiyu Zahra’ ini adalah di bawah seliaannya. Rumit sekali tugasnya. Menyemai tanaman di tanah sakhrawi. Tanah yang gersang, segersang jiwaku kala ini.

“Kongsilah dengan aku. Aku tahu kau ada masalah. Bukan sehari aku kenal kau. Seraut wajah kau berubah aku tahu apa yang sedang kau rasakan.” Desak Akhmal seolah memahami kekusutan yang sedang ku alami.

Akhmal memang begitu. Sudah hampir 10 tahun kami hidup bersama. Semenjak di tingkatan satu lagi. Di sekolah menengah agama berasrama penuh di daerah Kluang. Memang dialah tempat aku mengadu dan bergurau senda. Begitu jugalah sebaliknya. Kami memang rapat. Seperti adik beradik. Itulah resam orang tinggal di asrama. Tidak hidup kalau hanya menyendiri. Kami ditakdirkan melanjutkan pengajian ke Bumi Anbia’. Bumi yang penuh barakah. Tahun ini tahun ketiga aku tinggal bersamanya di sini. Tawa dan duka dikongsi bersama. Sememangnya ukhuwah itu manis. Lebih manis lagi bila persaudaraan yang dibina berteraskan keikhlasan dan persefahaman.

“Aku tak sangka Mal. Dia sanggup buat begitu padaku.” Aku memulakan bicara.

“Maksud kau Sara?” Sahut Akhmal keliru. “Ye Mal. Sara yang aku kenal rupanya sudah berpunya.” Berat lidahku ingin meneruskan bicara.


**********

Sara Bte Muhammad, gadis Indonesia yang baru setahun lebih ku kenali. Semenjak tahun pertama aku bermastautin di maidan sakhrawi ini. Hatiku tercuit ketika pertama kali aku melihatnya. Dewan Haflah Qubra Haiyu Sadis menemukan aku dengannya. Waktu itu aku diamanahkan sebagai ketua unit Persiapan. Persatuan yang aku dokongi menganjurkan sebuah Program Mega. Program gabungan antara Persatuan-persatuan Pelajar Asia Tenggara di Mesir. Ia julungkali diadakan semenjak keluarnya persatuan negara-negara Asia Tenggara dari persatuan Induk Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

Sara ditugaskan sebagai timbalanku. Kali pertama berurusan dengannya ku rasakan amat payah. Namun demi mewujudkan intergrasi ukhuwah dan persefahaman antara pelajar Islam Nusantara, aku turutkan jua kehendak persatuan. Itulah wasilah terbaik untuk melahirkan kesatuan dan mengikat persaudaraan di kalangan abnak al-Azhar umumnya.

Sara seorang gadis yang agak pemalu. Tidak banyak bicara. Keadaannya yang tidak menggunakan telefon bimbit menyukarkan lagi urusanku. Aku terpaksa berulang alik ke Markaz Penuntut Indonesia berhampiran Masjid Rabiatul Adawiyah Haiyu 7, demi memastikan urusan yang diamanahkan berjalan lancar. Dari pertemuan ke pertemuan, aku rasakan semakin serasi dan timbul perasaan untuk mengenalinya dengan lebih mendalam lagi. Perasaan yang tidak pernah ku alami sebelum ini.

“Ustazah ni dari kuliyah apa?” Tanyaku pada suatu hari memulakan bicara. Sara tersenyum simpul merasa kaget dengan panggilanku. Panggilan Ustazah sebenarnya menjadi kebiasaan di kalangan pelajar-pelajar siswi Malaysia sahaja. Aku terkasima. Tersilap memulakan bicara.

“Saya dari kuliyah Syariah Islamiyah, tahun ini tahun pertama saya di sini.” Jawab Sara melampaui soalanku. “Kamu juga dari kuliyah Syariah bukan, tahun satu?” Pertanyaannya itu menghentam gegendang telingaku. Aku Terkejut. Memek wajahku berubah.

“Dari mana kamu tahu” Aku bertanya meminta penjelasan. Kata-katanya itu seolah menggambarkan dia amat tahu mengenai diriku. “Dari ta’arrufmu dahulu. Kamu sudah lupa ya?” Kepalaku berputar ligat mencari kebenaran jawapannya itu. Sekali lagi aku terkasima. Aku terlupa. Kami telah berkenalan sewaktu sesi ta’aruf mesyuarat kali pertama dahulu.

“Ah… malunya.” Batinku menjerit. Sara tesenyum sambil menutup mulutnya yang manis itu melihat gelagatku. Aku melihat wajahnya yang bundar itu semakin manis apabila tersenyum begitu. Aku merenung wajahnya. Dia menepuk tangannya.

“Apa yang kamu lihat tu?” Aku terkejut. “Oh ya, maafkan saya. Jangan lupa ya esok di Dewan Haflah Qubra.” Aku cuba mengubah tajuk perbualan. Berkali-kali aku terkasima hari itu. “Kita ada perjumpaan terakhir dengan semua AJK pelaksana program esok.” Tambahku.

Aku meminta diri sambil menyerahkan surat jemputan mesyuarat yang ku bawa bersama. Sebelum beredar sempat juga aku menjelingnya. Kelihatan dia mencubit rakan di sebelahnya. Entah apa yang sedang diperkatakan. Mereka tersenyum dan terus beredar pantas masuk ke bangunan siswi Kompleks Penuntut Indonesia.

Sara wanita pertama ku rasakan telah mencuit lubuk hatiku. Sebelum ini aku tidak pernah melayani perempuan hingga ke situasiku kini. Memang dulunya aku di gelar ‘happy go lucky’. Tidak endah hal berkaitan hati wanita. Sehingga ada yang mengatakan aku sombong, tiada perasaan dan sebagainya. Namun kini tidak lagi. Hatiku sudah terusik. Diusik oleh gadis seberang tanah air yang tidak pernah terfikir di kotak fikiranku selama ini.

Hari-hari yang berlalu ku rasakan amat bahagia. Kami saling berhubungan. Kadang-kala aku menghubunginya. Bertanya khabar melalui telefon bimbit milik sahabatnya. Semakin hari semakin intim. Kami juga sering bertukar-tukar nota pelajaran. Maklumlah, kami dari jurusan yang sama. Dulu aku sering mengutuk kawan-kawan ku yang sedang dilamun perasaan begini.

“Rileks laa kawan! Apa main jiwa-jiwa ni!!” Ayat yang sering ku lafazkan dahulu.

Namun kini semuanya terpalit padaku sendiri. Mungkin juga ada benarnya kata orang. Jika tidak pernah berfikir untuk bercinta, sekali kena tamparannya lupa dunia dibuatnya.

**********

Setahun berlalu. Hubungan kami semakin intim. Selaku pelajar dalam bidang Agama, aku menyedari pantang larangnya. Hubungan ini perlu dibatasi. Perlu ada ikatan yang sah. Fitnah haruslah ku jauhi. Bukankah sebesar-besar fitnah itu adalah fitnah wanita. Aku nekad menyatakan hasratku kepadanya. Namun segalanya ku mulai dengan beristikharoh. Memohon petunjuk dari Ilahi. Ada orang kata istikharoh ku sudah tidak berguna. Kerana dalam hatiku hanya ada Dia. Namun ku gagahkan jua. Bermunajat di malam hari. Menemui Tuhan yang menciptakan pertemuan dan perpisahan. Aku merintih meminta pada Tuhan.

Tuhanku
Seandainya telah Kau catatkan dia milikku
Terciptanya untukku
Dekatkanlah dia padaku
Satukanlah hatinya dengan hatiku
Titipkanlah kemesraan di antara kami
Agar kebahagiaan itu abadi

Dan Tuhanku
Seiringkanlah kami melayari
Hidup yang luas ini ke tepian yang sejahtera

Tetapi Tuhanku
Seandainya telah Kau takdirkan dia bukan milikku
Bawalah dia jauh dari pandanganku
Dan peliharalah diriku dari kecewa

Serta Tuhanku
Berikanlah aku kekuatan
Melontar bayangannya ke dada langit
Dan gelap pekat awan
Walau tanpa dirinya

Dan Tuhanku
Gantikanlah yang telah hilang
Tumbuhkanlah kembali yang telah patah
Meskipun tiada yang sama dengan dirinya
Kerana aku pasti
Itulah jauhari dari Mu

Hatiku semakin kuat menyatakan dia milikku. Aku tidak pasti dari mana datangnya perasaan itu. Berat hatiku mengatakan ia dari Tuhan. Mungkin ia datang dari titipan pengharapanku kepadaNya. Tuhan telah memberikanku jalan keluar, Atau ianya hanya mainan perasaanku yang memang dari awal lagi telah jatuh hati padanya? Ya Allah, aku mohon petunjuk dari Mu.

Setiap malam aku bermunajat. Mengharap dan terus mengharap. Aku tetap yakin. Yakin dengan firman Allah di dalam surah al-Mu’min ayat 60 yang bermaksud: Dan Tuhanmu berfirman : “Berdoalah kepada Ku nescaya akan Ku perkenankan bagimu” Aku genggam jadi azimat. Hingga datang petanda dariNya. Aku mula yakin. Dia tercipta untukku. Dan aku tercipta untuknya.


**********

Pagi itu cuaca agak panas. Mentari memancar deras membakar epidermis kulitku. Aku berlari anak seraya mendaki anak tangga bas baru bewarna hijau. Bas bernombor 65 itu akan membawa penumpangnya ke Maidan Saidatina Aisyah. Namun nawaituku bukan untuk ke Maidan. Aku berhenti di pertengahan. Di hadapan KFC Rabiatul Adawiyah. Kakiku melangkah penuh yakin. Membawa seribu pengharapan. Kompleks Penuntut Indonesia kini berada di hadapanku. Aku bakal meluahkan segalanya di sini. Aku bulatkan tekad untuk melamar Sara hari ini.

Segalanya telah ku atur. Aku berurusan dengan Pak Nasir. Wakil Bait Muslim Persatuan Mahasiswa Indonesia. Berdebar juga hatiku pagi itu. Takut dan malu mula bersatu di jiwaku. Berperang dengan keyakinan dan harapan yang ku bawa.

“Assalamualaikum”

Lafaz salam itu menerjah ke telingaku. Aku tahu Sara sudah di pintu. Dia melangkah masuk lalu bersalaman dengan Ibu Suraya isteri pak Nasir. Wajahnya yang bertudung litup itu menambahkan lagi keayuannya. Mata kami bersatu. Sara tertunduk. Lari dari jelingan mataku. Aku tidak sabar menanti jawapan darinya. Nafasku turun naik.

“Kamu benar-benar ingin melamarku?” Sara kelihatan amat serius ketika memulakan bicaranya.

Kata-kata itu menghentikan sejenak degupan jantungku. “Ahh… Apa yang harus ku jawab?” Aku bermonolog sendiri. Kata-katanya itu membawa seribu satu persoalan di sanubariku. Seolah tidak mempercayai kesungguhanku melamarnya.

“Ataupun kamu juga ingin bermut’ah denganku!!?” Sekali lagi aku terbata mendengar omongannya. Begitu dangkal sekali telahannya. Jiwaku rasa sejuk walau mentari panas membakar di luar. Ku lihat matanya mula berkaca. Manik-manik matanya mula membasahi pipi. Apa yang telah ku lakukan. Apa salahku. Hatiku bertambah rungsing. Aku memberanikan diri bertanya.

“Sara, apa maksudmu…”? Belum habis ku berbicara, Sara bangkit meluru keluar. Aku bergegas ingin mengejarnya. Pak Nasir bingkas menahan ku. Aku kebingungan.

“Bertenang Afif. Biarkan dia pergi. Mungkin hatinya tersentuh perihal kenangan silamnya dahulu.” Pak Nasir mula memberikan penjelasan kepadaku.

“Kenapa dengan Sara Pak Cik?” Ku gagahkan diriku bertanya. Hatiku diselaputi awan hitam. Jiwaku tidak tenteram menanti jawapan. Pak Nasir berat untuk meneruskan bicaranya.

“Sebenarnya Sara… Sara sudah berkahwin.” Aku tertunduk kaku mendengar penjelasan Pak Nasir. Mahu sahaja ku tutup telinga ku dari mendengar kata-katanya. Hatiku tidak mampu menahan rasa sebak. Aku rasa seperti dipermain-mainkan. “Sara…Kenapa kau sembunyikan perkara ini dari ku? Apa salahku? Kau lari dari ku tatkala cinta sudah berputik di hatiku.

Aku bangkit berlalu pergi. Pak Nasir tidak mampu menahan kehendakku.

**********

“Tok, tok, tok” kedengaran pintu rumahku diketuk orang. Aku menghentikan coretan rasaku. Akhmal bingkas ke muka pintu. “Boleh Pak Cik masuk”? Kelihatan Pak Nasir tercegat di depan pintu. Akhmal mempersilakan Pak Nasir masuk.

“Afif, Pak Cik minta maaf di atas kejadian semalam.” Pak Nasir memulakan bicara. “Sebenarnya Pak Cik ada lagi perkara yang hendak disampaikan. Tapi kamu sudah pergi. Pak Cik tak mampu nak tahan kamu pergi.” Pak Nasir menyambung penjelasannya. Pak Nasir menyerahkan sepucuk surat kepadaku. Surat dari Sara katanya.

Buat Afif yang diingati,

Maafkan Sara di atas ketelanjuran semalam. Sara tahu hati Afif pedih menerima hakikat ini. Tapi, percayalah pedih lagi hati Sara untuk menyatakannya. Bukan sara sengaja menolak lamaran Afif. Tetapi Afif perlu tahu kedudukan Sara yang sebenarnya. Sara tidak mahu lagi menyembunyikan perkara ini.

3 tahun yang lalu, setahun sebelum Sara ke al-Azhar ayah telah mengahwinkan Sara dengan seorang lelak pilihannya. Sara menolak. Namun apa daya seorang anak muda seperti Sara ketika itu. Nasib si anak dara di tangan bapanya. Sara pasrah dengan arahan itu. Namun, hati Sara remuk. Menyedari perkahwinan itu hanya untuk sementara. Sebulan sahaja. Hati sara memberontak. Namun, semuanya telah terlambat. Sara terikat dengan kontrak itu!! Sampai tempohnya Sara ditinggalkan begitu sahaja. Sara menangis semahunya.

Lelaki itu datang ke kampung atas alasan berdakwah. Penampilannya membuatkan sesiapa sahaja mampu tertarik dengan kata-katanya. Dia menyatakan nikah secara mut’ah (kontrak) dibolehkan dan digalakkan di dalam Islam. Rupanya, lelaki itu menganuti fahaman Syiah. Ayah terpengaruh dengan ajarannya. Sara yang menjadi mangsanya.

Hati Sara sedih apabila terkenangkan kisah ini. Sara takut untuk berkahwin lagi. Takut akan bercerai lagi. Takut dituduh melacur lagi. Lebih-lebih lagi ada orang kata Sara pelacur. Mengambil upah sambil menjual maruah. Apa salah Sara. Sara hanya ikut kehendak orang tua.

Sampai di sini baru Sara tahu Islam telah mengharamkan mut’ah. Hancur luluh hati Sara. Rupanya sara telah berzina tanpa Sara sedari.

Sara harap Afif faham akan situasi Sara kini. Sara doakan Afif akan menemui orang yang lebih baik dari Sara. Mampu menjadi sayap kiri yang terbaik buat dirimu. Lupakanlah Sara. Sara sudah tidak suci lagi.

Hati yang luka,
Sara…

Aku genggam erat surat itu. Tanpa ku sedari air mataku mengalir membasahi pipi. Dalam kotak fikiranku mengingatkan sesuatu. Tergambar helaian demi helaian kitab Ahwal as-Sakhsiah yang ku pelajari semester pertama dahulu. Hanya puak Syiah yang mengharuskan mut’ah malah mengagungkannya. Hatiku panas.

Wahai penganut Syiah. Tidakkah kamu pernah mendengar hadis Nabi yang bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya aku pernah mengizinkan kamu untuk bermut’ah dengan wanita. Dan sesungguhnya, Allah Taala telah mengharamkan perbuatan itu sehingga hari kiamat. Sesiapa yang di sisinya wanita mut’ah, maka bebaskanlah ia dan janganlah kamu ambil sesuatu yang telah kamu berikan kepada mereka.” Hadis Sohih riwayat Imam Muslim.

Tidakkah mereka menerima dalil yang jelas terang ini dengan hati yang terbuka. Tidakkah mereka memikirkan nasib wanita yang tersiksa tempias pengharusan hukum ini. Walhal, mereka juga akan menolak sekiranya ada pinangan untuk anak cucu mereka yang bermotif ‘kontrak’ sebegini. Apa sebenarnya yang mereka inginkan!!! Aku bermonolog sendiri. Geram hatiku mengenangkan pihak yang bersenda gurau dengan hukum sebegini.

Fikiranku terus melayang. Mencari sinar di balik kabus yang membelengu jiwaku. Aku memandang Pak Nasir dan Akhmal yang berada di sisiku. Dengan yakin aku ungkapkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Terangkat dosa dari ummatku kerana tersilap, lupa dan paksaan dalam melakukannya.”

“Sara tak bersalah Pak Cik.” Aku menggoncang tangan Pak Nasir menyatakan logikku. Aku telah menemui jalan keluar. Aku bersyukur diberi peluang mendalami ilmu di pelembahan ini. Dengan hidayahNya aku rasa tenang kembali. Aku yakin dengan petunjuk Mu Tuhan. Awan mendung telah berarak. Yang tinggal hanya cahaya secerah pawarna petang itu.

Sara…Kau mangsa keadaan Sara. Kau tetap wanita suci bagiku. Kita telah ditakdirkan untuk bertemu. Ya Allah, satukanlah Sinar hati kami. Cinta kami lahir dari sinar hati yang tulus ikhlas keranaMu.

No comments: