HijriDate

Sunday, May 28, 2006

Buatmu Muslimah

Oleh afais - Majalah Hewi Februari 2006
Buah bacang masak serangkai
Dijual bersama laici dan longan
Adam dagang tidak terpakai
Hendak menegur rasa kekurangan

Anak pokok dibajai disirami
Akarnya tunjang berditi teguh
Muslimah sejati harapan kami
Berdiri teguh sambil mengukuh

Mari membaca kitab jundullah
Menjadi penyuluh sepanjang laluan
Manakan ada yang seteguh Rasulullah
Jika Khadijah tidak ketemuan

Telefon berdering panjang minta dijawab. Bila diangkat suara wanita memberi salam, memula bicara meminta bantuan. Lantas daku memberi persetujuan tanpa mahu berfikir panjang. Bila talian terputus mengakhiri perbualan, daku terfikir sejenak Kritikan dan nasihat buat muslimah impian. Benarkah apa yang aku dengar tadi. Minta aku menulis kritikan. Hati mengeluh panjang. Silap langkah aku menegur patah dan rosak jadinya. Itulah wanita yang Rasulullah SAW sifatkan sebagai tulang yang bengkok. Jika ingin membentuknya perlu kelembutan dan kesabaran. Jika tidak, patah dan rosaklah tiada gantinya.

Lalu aku duduk di hadapan pc sambil mendengar sebuah lagu nasyid kontemporari dendangan kumpulan nasyid In-Team yang terkenal : Siti Khadijah

Siti Khadijah namamu indah
Qudwah hasanah tauladan ummahT
ika Rasul terpinggir
Engkaulah insan terhampir
Siti Khadijah mujahidah solehah
Agung jasamu dipersada sejarah
Pemergianmu ditangisi Nabi
Hingga kini tiada pengganti
Sunyi jalan menuju Allah
Menggamit hati mencari teman
Indah jalan menuju Allah
Jika teman seperti Khadijah
Masih ada lagi...

Muslimat impian, harapan masa depan,

Untuk bergelar wanita agung seperti Saidatina Khadijah, Saidatina Aisyah, Saidatina Asiah dan wanita suci lainnya, ia dirasakan amat sukar dan hampir mustahil. Mereka wanita yang Allah SWT angkat martabat mereka berbanding wanita lainnya. Mereka wanita istimewa yang punyai sifat dan kisah hidup yang perlu dijadikan iktibar dan pengajaran. Kita amat jauh berbanding mereka. Namun hukamak mengatakan :

ما لا يدرك كله لا يترك كله
Maksudnya : Perkara yang tidak mampu kita ikuti kesemuanya, janganlah kita tinggalkan keseluruhannya.

Tidak mampu untuk jadi seperti mereka, dapat mencontohi dan mengambil teladan dari perjalanan hidup mereka juga sudah dikira sangat baik berbanding langsung tidak mengenali siapakah mereka. Kekadang terdengar ada yang mengatakan : kami wanita akhir zaman, Allah sudah taqdirkan kami lemah, tidak seperti wanita dahulu. Kata-kata seperti ini tidak sewajarnya lahir dari mulut seorang muslimah sejati. Sikap seperti inilah yang menghalang muslimat kini untuk bangkit menjadi golongan terbilang dan gemilang dek kehilangan simbol dan role model dalam kehidupan.

Muslimah sejati perlu menjadi golongan yang mahu dibimbing dan mampu untuk membimbing. Lihat sahaja sirah Rasulullah SAW ketika mana baginda pulang dari gua Hiraa dalam ketakutan setelah turunnya wahyu pertama, lalu Baginda bersabda dalam gementar yang amat sangat: selimutkan daku, selimutkan daku…. Lalu Saidatina Khadijahlah yang menyelimutkan Baginda dan menenangkan baginda. Baginda mendidik Siti Khadijah menjadi wanita Islam pertama yang sanggup berkoban apa sahaja demi Islam. Dalam masa yang sama beliau mampu menjadi teman dan pendidik terbaik tika nabi terpinggir ditolak masyarakat arab jahiliah.

Dalam mendepani era globalisasi yang mencengkam ini, muslimat harus lebih terkehadapan lebih-lebih lagi bagi golongan kecil terpilih bergelar azhariah. Peranan mereka amat penting dalam mendominasi masyarakat yang kian rosak dengan pelbagai masalah gejala sosial dan keruntuhan akhlak. Segala-galanya perlulah diterokai agar menjadi muslimah yang up to date bagi berdepan dengan penyakit masyarakat yang kian rumit. Lebih-lebih lagi jumlah wanita yang semakin ramai dari lelaki menghasilkan natijah wanita perlu lebih aktif dari dahulu.

Tapi yang merisaukan, azhariah masih lagi seperti dahulu seolah-olah lupa akan tanggungjawab yang sedia menanti. Masih lagi dengan malu yang melampau-lampau dalam perkara yang memerlukan muslimah ke hadapan. Tidak ramai yang mampu menjadi jurucakap kepada masyarakat. Siapa yang bakal menggantikan nama-nama besar di tanah air seperti Dato Dr. Masyitah, Dr. Lo Lo, Dr. Herlina, Hjh Khatijah dan lain-lain nama besar yang amat sedikit bilangannya. Bukankah wanita lebih memahami masalah kaum hawa berbanding lelaki. Hakikat yang perlu diterima kini di tanah air, lelaki lebih berminat menjadi doktor pakar sakit puan berbanding wanita dek kurangnya peranan kaum wanita dalam memenagi hak-hak sebenar kaum wanita.

Menurut pemerhatian yang dilakukan, muslimah lebih gemar membaca novel dan cerpen dari membaca bahan-bahan ilmiah yang lain. Tidak dinafikan, membaca novel dan cerpen mampu menambahkan pengetahuan dan mengukuhkan penguasaan bahasa melayu. Ianya juga lebih baik dari mereka yang langsung tidak minat membaca. Namun yang menjadi masalahnya ialah, membaca novel dan cerpen mejadi keutamaan dari bahan ilmiah lainnya. Situasi ini amat membimbangkan. Sememangnya jiwa wanita itu lembut, dan tidak wajar menjadikan ianya alasan untuk lebih banyak membaca novel dan cerpen. Lebih-lebih lagi yang berunsurkan percintaan dan meruntun perasaan si pembaca. Bayangkan, satu novel setebal 400 muka surat memerlukan sekurang-kurangnya 2 atau 3 hari untuk ditamatkan. Jika ada 3 atau 4 novel yang perlu dihabiskan sebulan, muslimah sendiri tahu berapa hari yang tinggal untuk baki seribu satu tanggung jawab yang perlu dilaksanakan.

Azhariah tidak dinafikan lebih rajin ke kuliah berbanding Azhari, namun tidak semua azhari begitu. Kuliah amat penting bagi mendengar penjelasan yang bernas dan tuntas dari para ilmuan dan tokoh-tokoh besar yang berbakti di al-Azhar. Namun begitu, ke kuliah sahaja tidak cukup. Muslimat perlu perlu lebih terbuka dalam menerokai khazanah ilmu yang tersebar di bumi “lakaran sakhrawi” ini. Program-program yang dianjurkan oleh pihak persatuan perlu didokongi. Di situlah kita mula belajar bergaul dengan masyarakat sebelum bertemu dengan kelompok masyarakat yang lebih besar di tanah air nanti. Kelas-kelas tafaqquh fi ad-din perlu diikuti dan tidak hanya tertumpu dengan pengajian syeikh atau ikhwah malizi sahaja, walahal kita juga perlu mengikuti pengajian-pengajian para masyaiekh yang sukar kita temui di Malaysia. Bakat dan penguasaan ilmu mereka jauh lebih tinggi berbanding kita tanpa menafikan kebolehan ulamak-ulamak kita.

Muslimah juga perlu kepada penampilan dan keterampilan yang bersesuaian dengan keadaaan serta medan yang diceburi terutamanya di tanah air kelak. Penampilan yang bersesuaian dengan mad’u amat penting bagi menarik golongan yang diseru agar tidak lari dari matlamat asal kita – masyarakat kembali kepada Islam. Apa salahnya kita mengubah gaya pemakaian kita selagi ianya masih berlegar di dalam orbit islam dan tidak lari dari konsep Islam yang sebenar. Perkara khilaf dan furuk seperti ini janganlah dipertikai dan diperdebatkan sehingga terlupa matlamat sebenar dakwah yang kita perjuangkan akibatnya pecah belah antara jamaah Islam. Ia bukan bermaksud bermudah-mudah dalam mengamalkan syariat islam, akan tetapi apa yang dikehendaki nilailah dengan kefahaman dan timbangan yang telah ulamak gariskan. Bukankah syariat itu berubah-ubah dengan perbezaan masa dan suasana.

Muslimah impian, harapan masa depan,

Seperkara lagi yang perlu dikongsi bersama. Muslimah dan teknologi perlu berjalan seiringan. Teknologi semakin jauh ke hadapan. Sekarang ini bukan lagi zaman disket dan kaset. Ini zama dvd dan pen drive. Pekembangan teknologi perlu serba sedikit diketahui agar tidak dipandang kolot dan ketinggalan. Penulis juga bukanlah orang yang terlampau mahir dengan teknologi terkini, namun belajar serba sedikit dari teman dan pembacaan itu perlu berterusan. Segala kemahiran yang berkaitan dengan komputer dan IT perlulah diterokai. Kemahiran bukan sekadar tahu mengutus surat maya(e-mail), berchating dengan yahoo messenger dan melayari friendster sahaja, namun perlulah lebih luas lagi dengan program kemahiran seperti Adobe Photoshop CS2, Ulead video editor, Win DVD creator, dan kemahiran-kemahiran lain yang berkaitan. Impian akan datang, harapnya tiada lagi yang memanggil ikhwah untuk membetulkan komputer walhal hanya wayar power suply yang tidak dipasangkan.

Berat bukan cabaran wanita muslimah zaman ini...

Adam sentiasa mendoakan agar muslimah sentiasa cemerlang dan mendapat taufik dan hidayah berpanjangan dari Allah Taala. Adam juga lemah dan mengharapkan teguran membina dari kalian. Ya Allah, kami yakin ada lagi muslimah seluhur Khadijah, setulus Aisyah seteguh Asiah. Mungkinkah wahai Azhariah…

No comments: