Judul : Dalam Mihrab Cinta
Penulis : Habiburrahman El Shirazy
Kelas : Novel Pembangunan Jiwa
Download : Link
Habiburrahman El Shirazy - mahrab cinta
Saturday, May 09, 2009
Novel : Dalam Mihrab Cinta
Posted by MOHAMAD FAIRUZ BIN TAMJIS at 4:59 PM 0 comments
Saturday, April 28, 2007
Tika ini Hati Merindu
Bismillah..
Tika ini hati merindu
Pergimu sudah setahun berlalu
Walau sepi tidak bertunggu
Ibu kau tetap dalam ingatanku
Tika ini hati merindu
Lambaian tergambar di depan mataku
Kanan dan kirimu anak dan cucu
Aku pergi membawa janjimu
Tika ini hati merindu
Entah kenapa jadi begitu
Semakin hampir hari kepulanganku
Dadaku kencang berdegup laju
Tika ini hati merindu
Mungkinkah doaku tidak selalu
Atau terhijab dek noda dosaku
Tergambar, teringat, terpapar wajahmu
Ku belek-belek di segenap penjuru
Mencari di mana salah dan silapku
Malam ini tak terpejam mataku
Ku ingat-ingat satu persatu
Menuntut ilmu janjiku padamu
Matlamat itu masihkah menyatu
Atau sudah bertukar teraju
Mungkinkah ini yang memugar rinduku???
Ya Allah
HambaMu ini datang mengadu
Daku bersyukur dikurnikaan ibu
Berkorban kasih bergadai rindu
Demi pemergianku menuntut ilmuMu
Ya Allah
Daku mengharap rahmat dariMuJadikan daku dikalangan hambaMu
Yang faqih dan ikhlas menuntut ilmu
Jadi saham buat orang tuaku
Ya Allah
Daku merintih memohon padaMu
Ampunkan dosa juga kesalahanku
Penghalang cahaya masuk ke dadaku
Tabahkan hatiku bahagiakan ayah ibu
Amin ya Robbal alamin
Ingatan ini takkan pernah padam...
Dari anakanda...
Buat ayah dan ibu, musliman dan muslimat yang telah kembali ke rahmatullah...al-Fatihah
Wallahuaalam..
Posted by MOHAMAD FAIRUZ BIN TAMJIS at 6:23 AM 2 comments
Sunday, April 01, 2007
Bismillah...
2 Musuh itu
Tidak kelihatan
Siapa yang beriman
Pasti kan ketahuan
2 Musuh itu
Sering bergandingan
Siapa tak tertahan
Pasti kan tumbang
2 Musuh itu
Satu dalam diri
Kehendak kuat bertalu
Itulah dia NAFSU
2 Musuh itu
Satu unsur luaran
Selalu datang menyerbu
Itulah dia SYAITAN
وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِي إِنَّ النَّفْسَ لأمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلا مَا رَحِمَ رَبِّي إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya : "Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), karena sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyanyang" [Yusuf : 53]
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ
Maksudnya : "Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu" [al-Baqarah : 208]
Terkadang kita tidak perasan
Bahawa Allah telah beri pengajaran
Kita sering bermusuhan sesama Islam
Kerana dua musuh ini tiada dalam kawalan
Fikir-fikirkan..renung renungkan..Adakah 2 musuh ini terlebih dahulu sudah kita hadapi dengan sebaiknya sebelum kita berhadapan dengan musuh yang pelbagai di luar sana?? BAGAIMANA??
SUCI HATI DAN MUJAHDATUN NAFSI
SUCI HATI DENGAN ISTIGHFAR
LEMBUT HATI DENGAN SELAWAT
PERKUKUH DIRI DENGAN LA ILAHA ILLLAH
Wallahua'alam...
Posted by MOHAMAD FAIRUZ BIN TAMJIS at 6:26 AM 0 comments
Sunday, January 28, 2007
Air mata Cairo tumpah lagi
Bismillah..
Air mata Kaherah tumpah lagi
Enam jejaka meninggalkan kami
Cairo Airport menjadi saksi
Sayu dan gembira menggamit naluri
Air mata Kaherah tumpah lagi
Dua coaster datang mengiringi
Setramco lagi masih tak mencukupi
Solah as-safar sesak dipenuhi
Air mata Kaherah tumpah lagi
Candid dan video habis dimanipulasi
Pelbagai ragam, gaya dan posisi
Hanya yang menarik ku paparkan di sini
Air mata Kaherah tumpah lagi
Harapan dan semangat dibawa pergi
Kenangan di sini di copy di CD
Jadi bekalan perjuangan harmoni
Air mata Kaherah tumpah lagi
Yang pergi tetap kan pergi
Tinggallah kami di sini yang berbaki
Kerna perjuangan tak selesai lagi
Air mata Kaherah tumpah lagi
Yang pergi sayu membawa memori
Yang tinggal sayu tak sekali kembali
Yang menunggu sayu sekian lama menanti
Air mata Kaherah tumpah lagi
Jatuh di pipi seorang lelaki
Mahal harganya menitis sesekali
Biar tumpahnya kerana Ilahi
Selamat kembali ke tanah air buat Azman Shaari(Wak Reng), Nazir, Farid Nong Chik (Tawil), Nazurraini, Firdaus Omar (lempeng) dan Agus Maidi.
Moga kita tergolong dalam 7 golongan seperti yang terkandung di dalam mafhum hadis Nabi SAW berikut:
7 golongan yang mendapat lindungan arasy Allah iaitu pada hari yang tiada bayangan kecuali bayangan-Nya sahaja (hari qiamat):
1) Ketua yang adil
2) Seseorang yang hidup di dalam beribadat kepada Allah
3) Seseorang yang sangat mencintai masjid (utk beribadat)
4) Dua orang lelaki yang saling mencintai kerana Allah, mereka berjumpa dan berpisah kerana Allah
5) Seseorang yang apabila dia mengingati Allah secara sendirian maka akan mengalirlah air matanya
6) Seorang lelaki yang 'diminta' oleh perempuan yang mempunyai harta dan kecantikan, maka dia berkata, sesungguhnya aku takut kepada Allah
7) Seseorang yang bersedekah sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang telah diberi oleh tangan kanannya (kerana ikhlas)
Au kama qola Rasulullahi SAW
Moga bertemu kembali di tanah air nanti. Salam perjuangan dariku http://www.afais.blogspot.com/
Balik ke Malaysia..Seronok ker??Tanggung jawab menggunung menanti di sana..
Sedihnya abang sorang ni dah balik..5 tahun tak balik tu..kalau saya tak tahan kot..tapi abang sorang ni memang power. Kalau tak der orang yang dah menunggu kat sana tu..dia nak duk sini lama lagi.. Caya la ust. Azman. Jumpa di Rengit nanti. Ingat, selipar jangan bawak masuk dalam masjid tau, jangan lompat dari bas pulak..hehehe..takut terlupa...Terima kasih segalanya my brother..
Ustaz Rafi jangan sedih yer abang-abang dah balik Malaysia..Saya ada lagi leh temankan ke mana ustaz Rafi nak pergi insyaallah..
Dia ni tak mahu menangis langsung walupun saya hanya minta setitik. Kira berjaya la dia ni tahan air mata kat depan kami..Belakang kami semua, kami tak tahu la..Tapi bagsunya si Mamat sorang ni, belum lagi sampai ke rumah dia di Senggarang dah call saya kat sini. Jam 4 pagi menyamar sebagai pegawai dari Pejabat Agama Batu Pahat. Tq for calling me my frends!!!
Dua situasi berbeza..Sedih dan gembira...Teramat gembira pun terkadang boleh menumpahkan air mata kan...
No komen...
Posted by MOHAMAD FAIRUZ BIN TAMJIS at 6:20 AM 0 comments
Thursday, June 29, 2006
Luahan Hati
Oleh Afais
Hati kecil ini meronta
Jiwa kotor terpalit dosa
Lantaran jauh dari Pencipta
Sedarlah Tuhanmu Maha Menimpa
Hati kecil meronta lagi
Dosa-dosa berulang kali
Maksiat jadi tabiat keji
Azab Tuhanmu sedia menanti
Hati kecil semakin meronta
Taubat hanya mainan sahaja
Takut diucap insafnya sementara
Nafsu ganas bermaharaja lela
Hati kecil mula bertindak
Mahu melawan kekangan mendesak
Syaitan dan Nafsu terus mengasak
Ditambah wasilah selari kehendak
Hati kecil menyusun langkah
Melawan kehendak nafsu serakah
Kepada Tuhan berlindung dan pasrah
Moga hidayah petunjuk dicurah
Hati kecil terus menanti
Cahaya Muhammad Utusan Ilahi
Doa dan usaha setiap hari
Moga bertemu ketenangan sejati
Hati kecil tersenyum kelat
Ubat istighfar dibius selawat
Kelat hilang manis yang dapat
Zikir disemi nafsu disekat
Hati kecil kembali ceria
Damai yang dicari di depan mata
Perlu istiqamah sepenuh daya
Agar tenang sentiasa hendaknya
Posted by MOHAMAD FAIRUZ BIN TAMJIS at 5:59 AM 0 comments
Sunday, May 28, 2006
Sinar Hati Kama
“Apa yang kau menungkan tu Fif? Jauh benar kau terbang… sampaikan aku ajak minum pun kau tak dengar, ada musykilah ker?” Sapa Akhmal memecah lamunanku.
“Eh… kau Mal. Aku tak ada apa-apalah” Jawabku ringkas, seolah tidak mahu diganggu. Aku terus memandang ke taman. Kelihatan Ammu Omran sedang menyiram jambangan pokok bunga di situ. Itu memang sudah tugasnya. Taman-taman di sekitar Syurtah Askariah Haiyu Zahra’ ini adalah di bawah seliaannya. Rumit sekali tugasnya. Menyemai tanaman di tanah sakhrawi. Tanah yang gersang, segersang jiwaku kala ini.
“Kongsilah dengan aku. Aku tahu kau ada masalah. Bukan sehari aku kenal kau. Seraut wajah kau berubah aku tahu apa yang sedang kau rasakan.” Desak Akhmal seolah memahami kekusutan yang sedang ku alami.
Akhmal memang begitu. Sudah hampir 10 tahun kami hidup bersama. Semenjak di tingkatan satu lagi. Di sekolah menengah agama berasrama penuh di daerah Kluang. Memang dialah tempat aku mengadu dan bergurau senda. Begitu jugalah sebaliknya. Kami memang rapat. Seperti adik beradik. Itulah resam orang tinggal di asrama. Tidak hidup kalau hanya menyendiri. Kami ditakdirkan melanjutkan pengajian ke Bumi Anbia’. Bumi yang penuh barakah. Tahun ini tahun ketiga aku tinggal bersamanya di sini. Tawa dan duka dikongsi bersama. Sememangnya ukhuwah itu manis. Lebih manis lagi bila persaudaraan yang dibina berteraskan keikhlasan dan persefahaman.
“Aku tak sangka Mal. Dia sanggup buat begitu padaku.” Aku memulakan bicara.
“Maksud kau Sara?” Sahut Akhmal keliru. “Ye Mal. Sara yang aku kenal rupanya sudah berpunya.” Berat lidahku ingin meneruskan bicara.
**********
Sara Bte Muhammad, gadis Indonesia yang baru setahun lebih ku kenali. Semenjak tahun pertama aku bermastautin di maidan sakhrawi ini. Hatiku tercuit ketika pertama kali aku melihatnya. Dewan Haflah Qubra Haiyu Sadis menemukan aku dengannya. Waktu itu aku diamanahkan sebagai ketua unit Persiapan. Persatuan yang aku dokongi menganjurkan sebuah Program Mega. Program gabungan antara Persatuan-persatuan Pelajar Asia Tenggara di Mesir. Ia julungkali diadakan semenjak keluarnya persatuan negara-negara Asia Tenggara dari persatuan Induk Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).
Sara ditugaskan sebagai timbalanku. Kali pertama berurusan dengannya ku rasakan amat payah. Namun demi mewujudkan intergrasi ukhuwah dan persefahaman antara pelajar Islam Nusantara, aku turutkan jua kehendak persatuan. Itulah wasilah terbaik untuk melahirkan kesatuan dan mengikat persaudaraan di kalangan abnak al-Azhar umumnya.
Sara seorang gadis yang agak pemalu. Tidak banyak bicara. Keadaannya yang tidak menggunakan telefon bimbit menyukarkan lagi urusanku. Aku terpaksa berulang alik ke Markaz Penuntut Indonesia berhampiran Masjid Rabiatul Adawiyah Haiyu 7, demi memastikan urusan yang diamanahkan berjalan lancar. Dari pertemuan ke pertemuan, aku rasakan semakin serasi dan timbul perasaan untuk mengenalinya dengan lebih mendalam lagi. Perasaan yang tidak pernah ku alami sebelum ini.
“Ustazah ni dari kuliyah apa?” Tanyaku pada suatu hari memulakan bicara. Sara tersenyum simpul merasa kaget dengan panggilanku. Panggilan Ustazah sebenarnya menjadi kebiasaan di kalangan pelajar-pelajar siswi Malaysia sahaja. Aku terkasima. Tersilap memulakan bicara.
“Saya dari kuliyah Syariah Islamiyah, tahun ini tahun pertama saya di sini.” Jawab Sara melampaui soalanku. “Kamu juga dari kuliyah Syariah bukan, tahun satu?” Pertanyaannya itu menghentam gegendang telingaku. Aku Terkejut. Memek wajahku berubah.
“Dari mana kamu tahu” Aku bertanya meminta penjelasan. Kata-katanya itu seolah menggambarkan dia amat tahu mengenai diriku. “Dari ta’arrufmu dahulu. Kamu sudah lupa ya?” Kepalaku berputar ligat mencari kebenaran jawapannya itu. Sekali lagi aku terkasima. Aku terlupa. Kami telah berkenalan sewaktu sesi ta’aruf mesyuarat kali pertama dahulu.
“Ah… malunya.” Batinku menjerit. Sara tesenyum sambil menutup mulutnya yang manis itu melihat gelagatku. Aku melihat wajahnya yang bundar itu semakin manis apabila tersenyum begitu. Aku merenung wajahnya. Dia menepuk tangannya.
“Apa yang kamu lihat tu?” Aku terkejut. “Oh ya, maafkan saya. Jangan lupa ya esok di Dewan Haflah Qubra.” Aku cuba mengubah tajuk perbualan. Berkali-kali aku terkasima hari itu. “Kita ada perjumpaan terakhir dengan semua AJK pelaksana program esok.” Tambahku.
Aku meminta diri sambil menyerahkan surat jemputan mesyuarat yang ku bawa bersama. Sebelum beredar sempat juga aku menjelingnya. Kelihatan dia mencubit rakan di sebelahnya. Entah apa yang sedang diperkatakan. Mereka tersenyum dan terus beredar pantas masuk ke bangunan siswi Kompleks Penuntut Indonesia.
Sara wanita pertama ku rasakan telah mencuit lubuk hatiku. Sebelum ini aku tidak pernah melayani perempuan hingga ke situasiku kini. Memang dulunya aku di gelar ‘happy go lucky’. Tidak endah hal berkaitan hati wanita. Sehingga ada yang mengatakan aku sombong, tiada perasaan dan sebagainya. Namun kini tidak lagi. Hatiku sudah terusik. Diusik oleh gadis seberang tanah air yang tidak pernah terfikir di kotak fikiranku selama ini.
Hari-hari yang berlalu ku rasakan amat bahagia. Kami saling berhubungan. Kadang-kala aku menghubunginya. Bertanya khabar melalui telefon bimbit milik sahabatnya. Semakin hari semakin intim. Kami juga sering bertukar-tukar nota pelajaran. Maklumlah, kami dari jurusan yang sama. Dulu aku sering mengutuk kawan-kawan ku yang sedang dilamun perasaan begini.
“Rileks laa kawan! Apa main jiwa-jiwa ni!!” Ayat yang sering ku lafazkan dahulu.
Namun kini semuanya terpalit padaku sendiri. Mungkin juga ada benarnya kata orang. Jika tidak pernah berfikir untuk bercinta, sekali kena tamparannya lupa dunia dibuatnya.
**********
Setahun berlalu. Hubungan kami semakin intim. Selaku pelajar dalam bidang Agama, aku menyedari pantang larangnya. Hubungan ini perlu dibatasi. Perlu ada ikatan yang sah. Fitnah haruslah ku jauhi. Bukankah sebesar-besar fitnah itu adalah fitnah wanita. Aku nekad menyatakan hasratku kepadanya. Namun segalanya ku mulai dengan beristikharoh. Memohon petunjuk dari Ilahi. Ada orang kata istikharoh ku sudah tidak berguna. Kerana dalam hatiku hanya ada Dia. Namun ku gagahkan jua. Bermunajat di malam hari. Menemui Tuhan yang menciptakan pertemuan dan perpisahan. Aku merintih meminta pada Tuhan.
Tuhanku
Seandainya telah Kau catatkan dia milikku
Terciptanya untukku
Dekatkanlah dia padaku
Satukanlah hatinya dengan hatiku
Titipkanlah kemesraan di antara kami
Agar kebahagiaan itu abadi
Dan Tuhanku
Seiringkanlah kami melayari
Hidup yang luas ini ke tepian yang sejahtera
Tetapi Tuhanku
Seandainya telah Kau takdirkan dia bukan milikku
Bawalah dia jauh dari pandanganku
Dan peliharalah diriku dari kecewa
Serta Tuhanku
Berikanlah aku kekuatan
Melontar bayangannya ke dada langit
Dan gelap pekat awan
Walau tanpa dirinya
Dan Tuhanku
Gantikanlah yang telah hilang
Tumbuhkanlah kembali yang telah patah
Meskipun tiada yang sama dengan dirinya
Kerana aku pasti
Itulah jauhari dari Mu
Hatiku semakin kuat menyatakan dia milikku. Aku tidak pasti dari mana datangnya perasaan itu. Berat hatiku mengatakan ia dari Tuhan. Mungkin ia datang dari titipan pengharapanku kepadaNya. Tuhan telah memberikanku jalan keluar, Atau ianya hanya mainan perasaanku yang memang dari awal lagi telah jatuh hati padanya? Ya Allah, aku mohon petunjuk dari Mu.
Setiap malam aku bermunajat. Mengharap dan terus mengharap. Aku tetap yakin. Yakin dengan firman Allah di dalam surah al-Mu’min ayat 60 yang bermaksud: Dan Tuhanmu berfirman : “Berdoalah kepada Ku nescaya akan Ku perkenankan bagimu” Aku genggam jadi azimat. Hingga datang petanda dariNya. Aku mula yakin. Dia tercipta untukku. Dan aku tercipta untuknya.
**********
Pagi itu cuaca agak panas. Mentari memancar deras membakar epidermis kulitku. Aku berlari anak seraya mendaki anak tangga bas baru bewarna hijau. Bas bernombor 65 itu akan membawa penumpangnya ke Maidan Saidatina Aisyah. Namun nawaituku bukan untuk ke Maidan. Aku berhenti di pertengahan. Di hadapan KFC Rabiatul Adawiyah. Kakiku melangkah penuh yakin. Membawa seribu pengharapan. Kompleks Penuntut Indonesia kini berada di hadapanku. Aku bakal meluahkan segalanya di sini. Aku bulatkan tekad untuk melamar Sara hari ini.
Segalanya telah ku atur. Aku berurusan dengan Pak Nasir. Wakil Bait Muslim Persatuan Mahasiswa Indonesia. Berdebar juga hatiku pagi itu. Takut dan malu mula bersatu di jiwaku. Berperang dengan keyakinan dan harapan yang ku bawa.
“Assalamualaikum”
Lafaz salam itu menerjah ke telingaku. Aku tahu Sara sudah di pintu. Dia melangkah masuk lalu bersalaman dengan Ibu Suraya isteri pak Nasir. Wajahnya yang bertudung litup itu menambahkan lagi keayuannya. Mata kami bersatu. Sara tertunduk. Lari dari jelingan mataku. Aku tidak sabar menanti jawapan darinya. Nafasku turun naik.
“Kamu benar-benar ingin melamarku?” Sara kelihatan amat serius ketika memulakan bicaranya.
Kata-kata itu menghentikan sejenak degupan jantungku. “Ahh… Apa yang harus ku jawab?” Aku bermonolog sendiri. Kata-katanya itu membawa seribu satu persoalan di sanubariku. Seolah tidak mempercayai kesungguhanku melamarnya.
“Ataupun kamu juga ingin bermut’ah denganku!!?” Sekali lagi aku terbata mendengar omongannya. Begitu dangkal sekali telahannya. Jiwaku rasa sejuk walau mentari panas membakar di luar. Ku lihat matanya mula berkaca. Manik-manik matanya mula membasahi pipi. Apa yang telah ku lakukan. Apa salahku. Hatiku bertambah rungsing. Aku memberanikan diri bertanya.
“Sara, apa maksudmu…”? Belum habis ku berbicara, Sara bangkit meluru keluar. Aku bergegas ingin mengejarnya. Pak Nasir bingkas menahan ku. Aku kebingungan.
“Bertenang Afif. Biarkan dia pergi. Mungkin hatinya tersentuh perihal kenangan silamnya dahulu.” Pak Nasir mula memberikan penjelasan kepadaku.
“Kenapa dengan Sara Pak Cik?” Ku gagahkan diriku bertanya. Hatiku diselaputi awan hitam. Jiwaku tidak tenteram menanti jawapan. Pak Nasir berat untuk meneruskan bicaranya.
“Sebenarnya Sara… Sara sudah berkahwin.” Aku tertunduk kaku mendengar penjelasan Pak Nasir. Mahu sahaja ku tutup telinga ku dari mendengar kata-katanya. Hatiku tidak mampu menahan rasa sebak. Aku rasa seperti dipermain-mainkan. “Sara…Kenapa kau sembunyikan perkara ini dari ku? Apa salahku? Kau lari dari ku tatkala cinta sudah berputik di hatiku.
Aku bangkit berlalu pergi. Pak Nasir tidak mampu menahan kehendakku.
**********
“Tok, tok, tok” kedengaran pintu rumahku diketuk orang. Aku menghentikan coretan rasaku. Akhmal bingkas ke muka pintu. “Boleh Pak Cik masuk”? Kelihatan Pak Nasir tercegat di depan pintu. Akhmal mempersilakan Pak Nasir masuk.
“Afif, Pak Cik minta maaf di atas kejadian semalam.” Pak Nasir memulakan bicara. “Sebenarnya Pak Cik ada lagi perkara yang hendak disampaikan. Tapi kamu sudah pergi. Pak Cik tak mampu nak tahan kamu pergi.” Pak Nasir menyambung penjelasannya. Pak Nasir menyerahkan sepucuk surat kepadaku. Surat dari Sara katanya.
Buat Afif yang diingati,
Maafkan Sara di atas ketelanjuran semalam. Sara tahu hati Afif pedih menerima hakikat ini. Tapi, percayalah pedih lagi hati Sara untuk menyatakannya. Bukan sara sengaja menolak lamaran Afif. Tetapi Afif perlu tahu kedudukan Sara yang sebenarnya. Sara tidak mahu lagi menyembunyikan perkara ini.
3 tahun yang lalu, setahun sebelum Sara ke al-Azhar ayah telah mengahwinkan Sara dengan seorang lelak pilihannya. Sara menolak. Namun apa daya seorang anak muda seperti Sara ketika itu. Nasib si anak dara di tangan bapanya. Sara pasrah dengan arahan itu. Namun, hati Sara remuk. Menyedari perkahwinan itu hanya untuk sementara. Sebulan sahaja. Hati sara memberontak. Namun, semuanya telah terlambat. Sara terikat dengan kontrak itu!! Sampai tempohnya Sara ditinggalkan begitu sahaja. Sara menangis semahunya.
Lelaki itu datang ke kampung atas alasan berdakwah. Penampilannya membuatkan sesiapa sahaja mampu tertarik dengan kata-katanya. Dia menyatakan nikah secara mut’ah (kontrak) dibolehkan dan digalakkan di dalam Islam. Rupanya, lelaki itu menganuti fahaman Syiah. Ayah terpengaruh dengan ajarannya. Sara yang menjadi mangsanya.
Hati Sara sedih apabila terkenangkan kisah ini. Sara takut untuk berkahwin lagi. Takut akan bercerai lagi. Takut dituduh melacur lagi. Lebih-lebih lagi ada orang kata Sara pelacur. Mengambil upah sambil menjual maruah. Apa salah Sara. Sara hanya ikut kehendak orang tua.
Sampai di sini baru Sara tahu Islam telah mengharamkan mut’ah. Hancur luluh hati Sara. Rupanya sara telah berzina tanpa Sara sedari.
Sara harap Afif faham akan situasi Sara kini. Sara doakan Afif akan menemui orang yang lebih baik dari Sara. Mampu menjadi sayap kiri yang terbaik buat dirimu. Lupakanlah Sara. Sara sudah tidak suci lagi.
Hati yang luka,
Sara…
Aku genggam erat surat itu. Tanpa ku sedari air mataku mengalir membasahi pipi. Dalam kotak fikiranku mengingatkan sesuatu. Tergambar helaian demi helaian kitab Ahwal as-Sakhsiah yang ku pelajari semester pertama dahulu. Hanya puak Syiah yang mengharuskan mut’ah malah mengagungkannya. Hatiku panas.
Wahai penganut Syiah. Tidakkah kamu pernah mendengar hadis Nabi yang bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya aku pernah mengizinkan kamu untuk bermut’ah dengan wanita. Dan sesungguhnya, Allah Taala telah mengharamkan perbuatan itu sehingga hari kiamat. Sesiapa yang di sisinya wanita mut’ah, maka bebaskanlah ia dan janganlah kamu ambil sesuatu yang telah kamu berikan kepada mereka.” Hadis Sohih riwayat Imam Muslim.
Tidakkah mereka menerima dalil yang jelas terang ini dengan hati yang terbuka. Tidakkah mereka memikirkan nasib wanita yang tersiksa tempias pengharusan hukum ini. Walhal, mereka juga akan menolak sekiranya ada pinangan untuk anak cucu mereka yang bermotif ‘kontrak’ sebegini. Apa sebenarnya yang mereka inginkan!!! Aku bermonolog sendiri. Geram hatiku mengenangkan pihak yang bersenda gurau dengan hukum sebegini.
Fikiranku terus melayang. Mencari sinar di balik kabus yang membelengu jiwaku. Aku memandang Pak Nasir dan Akhmal yang berada di sisiku. Dengan yakin aku ungkapkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Terangkat dosa dari ummatku kerana tersilap, lupa dan paksaan dalam melakukannya.”
“Sara tak bersalah Pak Cik.” Aku menggoncang tangan Pak Nasir menyatakan logikku. Aku telah menemui jalan keluar. Aku bersyukur diberi peluang mendalami ilmu di pelembahan ini. Dengan hidayahNya aku rasa tenang kembali. Aku yakin dengan petunjuk Mu Tuhan. Awan mendung telah berarak. Yang tinggal hanya cahaya secerah pawarna petang itu.
Sara…Kau mangsa keadaan Sara. Kau tetap wanita suci bagiku. Kita telah ditakdirkan untuk bertemu. Ya Allah, satukanlah Sinar hati kami. Cinta kami lahir dari sinar hati yang tulus ikhlas keranaMu.
Posted by MOHAMAD FAIRUZ BIN TAMJIS at 9:02 AM 0 comments
Buatmu Muslimah
Anak pokok dibajai disirami
Akarnya tunjang berditi teguh
Muslimah sejati harapan kami
Berdiri teguh sambil mengukuh
Mari membaca kitab jundullah
Menjadi penyuluh sepanjang laluan
Manakan ada yang seteguh Rasulullah
Jika Khadijah tidak ketemuan
Telefon berdering panjang minta dijawab. Bila diangkat suara wanita memberi salam, memula bicara meminta bantuan. Lantas daku memberi persetujuan tanpa mahu berfikir panjang. Bila talian terputus mengakhiri perbualan, daku terfikir sejenak Kritikan dan nasihat buat muslimah impian. Benarkah apa yang aku dengar tadi. Minta aku menulis kritikan. Hati mengeluh panjang. Silap langkah aku menegur patah dan rosak jadinya. Itulah wanita yang Rasulullah SAW sifatkan sebagai tulang yang bengkok. Jika ingin membentuknya perlu kelembutan dan kesabaran. Jika tidak, patah dan rosaklah tiada gantinya.
Lalu aku duduk di hadapan pc sambil mendengar sebuah lagu nasyid kontemporari dendangan kumpulan nasyid In-Team yang terkenal : Siti Khadijah
Siti Khadijah namamu indah
Muslimat impian, harapan masa depan,
Untuk bergelar wanita agung seperti Saidatina Khadijah, Saidatina Aisyah, Saidatina Asiah dan wanita suci lainnya, ia dirasakan amat sukar dan hampir mustahil. Mereka wanita yang Allah SWT angkat martabat mereka berbanding wanita lainnya. Mereka wanita istimewa yang punyai sifat dan kisah hidup yang perlu dijadikan iktibar dan pengajaran. Kita amat jauh berbanding mereka. Namun hukamak mengatakan :
ما لا يدرك كله لا يترك كله
Maksudnya : Perkara yang tidak mampu kita ikuti kesemuanya, janganlah kita tinggalkan keseluruhannya.
Tidak mampu untuk jadi seperti mereka, dapat mencontohi dan mengambil teladan dari perjalanan hidup mereka juga sudah dikira sangat baik berbanding langsung tidak mengenali siapakah mereka. Kekadang terdengar ada yang mengatakan : kami wanita akhir zaman, Allah sudah taqdirkan kami lemah, tidak seperti wanita dahulu. Kata-kata seperti ini tidak sewajarnya lahir dari mulut seorang muslimah sejati. Sikap seperti inilah yang menghalang muslimat kini untuk bangkit menjadi golongan terbilang dan gemilang dek kehilangan simbol dan role model dalam kehidupan.
Muslimah sejati perlu menjadi golongan yang mahu dibimbing dan mampu untuk membimbing. Lihat sahaja sirah Rasulullah SAW ketika mana baginda pulang dari gua Hiraa dalam ketakutan setelah turunnya wahyu pertama, lalu Baginda bersabda dalam gementar yang amat sangat: selimutkan daku, selimutkan daku…. Lalu Saidatina Khadijahlah yang menyelimutkan Baginda dan menenangkan baginda. Baginda mendidik Siti Khadijah menjadi wanita Islam pertama yang sanggup berkoban apa sahaja demi Islam. Dalam masa yang sama beliau mampu menjadi teman dan pendidik terbaik tika nabi terpinggir ditolak masyarakat arab jahiliah.
Dalam mendepani era globalisasi yang mencengkam ini, muslimat harus lebih terkehadapan lebih-lebih lagi bagi golongan kecil terpilih bergelar azhariah. Peranan mereka amat penting dalam mendominasi masyarakat yang kian rosak dengan pelbagai masalah gejala sosial dan keruntuhan akhlak. Segala-galanya perlulah diterokai agar menjadi muslimah yang up to date bagi berdepan dengan penyakit masyarakat yang kian rumit. Lebih-lebih lagi jumlah wanita yang semakin ramai dari lelaki menghasilkan natijah wanita perlu lebih aktif dari dahulu.
Tapi yang merisaukan, azhariah masih lagi seperti dahulu seolah-olah lupa akan tanggungjawab yang sedia menanti. Masih lagi dengan malu yang melampau-lampau dalam perkara yang memerlukan muslimah ke hadapan. Tidak ramai yang mampu menjadi jurucakap kepada masyarakat. Siapa yang bakal menggantikan nama-nama besar di tanah air seperti Dato Dr. Masyitah, Dr. Lo Lo, Dr. Herlina, Hjh Khatijah dan lain-lain nama besar yang amat sedikit bilangannya. Bukankah wanita lebih memahami masalah kaum hawa berbanding lelaki. Hakikat yang perlu diterima kini di tanah air, lelaki lebih berminat menjadi doktor pakar sakit puan berbanding wanita dek kurangnya peranan kaum wanita dalam memenagi hak-hak sebenar kaum wanita.
Menurut pemerhatian yang dilakukan, muslimah lebih gemar membaca novel dan cerpen dari membaca bahan-bahan ilmiah yang lain. Tidak dinafikan, membaca novel dan cerpen mampu menambahkan pengetahuan dan mengukuhkan penguasaan bahasa melayu. Ianya juga lebih baik dari mereka yang langsung tidak minat membaca. Namun yang menjadi masalahnya ialah, membaca novel dan cerpen mejadi keutamaan dari bahan ilmiah lainnya. Situasi ini amat membimbangkan. Sememangnya jiwa wanita itu lembut, dan tidak wajar menjadikan ianya alasan untuk lebih banyak membaca novel dan cerpen. Lebih-lebih lagi yang berunsurkan percintaan dan meruntun perasaan si pembaca. Bayangkan, satu novel setebal 400 muka surat memerlukan sekurang-kurangnya 2 atau 3 hari untuk ditamatkan. Jika ada 3 atau 4 novel yang perlu dihabiskan sebulan, muslimah sendiri tahu berapa hari yang tinggal untuk baki seribu satu tanggung jawab yang perlu dilaksanakan.
Azhariah tidak dinafikan lebih rajin ke kuliah berbanding Azhari, namun tidak semua azhari begitu. Kuliah amat penting bagi mendengar penjelasan yang bernas dan tuntas dari para ilmuan dan tokoh-tokoh besar yang berbakti di al-Azhar. Namun begitu, ke kuliah sahaja tidak cukup. Muslimat perlu perlu lebih terbuka dalam menerokai khazanah ilmu yang tersebar di bumi “lakaran sakhrawi” ini. Program-program yang dianjurkan oleh pihak persatuan perlu didokongi. Di situlah kita mula belajar bergaul dengan masyarakat sebelum bertemu dengan kelompok masyarakat yang lebih besar di tanah air nanti. Kelas-kelas tafaqquh fi ad-din perlu diikuti dan tidak hanya tertumpu dengan pengajian syeikh atau ikhwah malizi sahaja, walahal kita juga perlu mengikuti pengajian-pengajian para masyaiekh yang sukar kita temui di Malaysia. Bakat dan penguasaan ilmu mereka jauh lebih tinggi berbanding kita tanpa menafikan kebolehan ulamak-ulamak kita.
Muslimah juga perlu kepada penampilan dan keterampilan yang bersesuaian dengan keadaaan serta medan yang diceburi terutamanya di tanah air kelak. Penampilan yang bersesuaian dengan mad’u amat penting bagi menarik golongan yang diseru agar tidak lari dari matlamat asal kita – masyarakat kembali kepada Islam. Apa salahnya kita mengubah gaya pemakaian kita selagi ianya masih berlegar di dalam orbit islam dan tidak lari dari konsep Islam yang sebenar. Perkara khilaf dan furuk seperti ini janganlah dipertikai dan diperdebatkan sehingga terlupa matlamat sebenar dakwah yang kita perjuangkan akibatnya pecah belah antara jamaah Islam. Ia bukan bermaksud bermudah-mudah dalam mengamalkan syariat islam, akan tetapi apa yang dikehendaki nilailah dengan kefahaman dan timbangan yang telah ulamak gariskan. Bukankah syariat itu berubah-ubah dengan perbezaan masa dan suasana.
Muslimah impian, harapan masa depan,
Seperkara lagi yang perlu dikongsi bersama. Muslimah dan teknologi perlu berjalan seiringan. Teknologi semakin jauh ke hadapan. Sekarang ini bukan lagi zaman disket dan kaset. Ini zama dvd dan pen drive. Pekembangan teknologi perlu serba sedikit diketahui agar tidak dipandang kolot dan ketinggalan. Penulis juga bukanlah orang yang terlampau mahir dengan teknologi terkini, namun belajar serba sedikit dari teman dan pembacaan itu perlu berterusan. Segala kemahiran yang berkaitan dengan komputer dan IT perlulah diterokai. Kemahiran bukan sekadar tahu mengutus surat maya(e-mail), berchating dengan yahoo messenger dan melayari friendster sahaja, namun perlulah lebih luas lagi dengan program kemahiran seperti Adobe Photoshop CS2, Ulead video editor, Win DVD creator, dan kemahiran-kemahiran lain yang berkaitan. Impian akan datang, harapnya tiada lagi yang memanggil ikhwah untuk membetulkan komputer walhal hanya wayar power suply yang tidak dipasangkan.
Berat bukan cabaran wanita muslimah zaman ini...
Adam sentiasa mendoakan agar muslimah sentiasa cemerlang dan mendapat taufik dan hidayah berpanjangan dari Allah Taala. Adam juga lemah dan mengharapkan teguran membina dari kalian. Ya Allah, kami yakin ada lagi muslimah seluhur Khadijah, setulus Aisyah seteguh Asiah. Mungkinkah wahai Azhariah…
Posted by MOHAMAD FAIRUZ BIN TAMJIS at 6:31 AM 0 comments
Saturday, May 27, 2006
Langkah bermula...
Imtihan datang silih berganti
dari satu datang lagi
sudah pergi datang kembali
bilakah imtihan akan terus pergi
imtihan datang menguji diri
dulunya lena diulit mimpi
dulunya leka beralasan "lama lagi"
Study "last minute" sesallah sendiri
imtihan datang melakar memori
jika najah syukur tidak bertepi
jika tersekat sabar cubalah lain kali
"lakaran sahrawi" bertambah sejilid lagi
imtihan datang mengubah persepsi
aku susah mahu cari rezeki
aku resah masyarakat hilang jati diri
Sedarlah apa tujuanmu datang ke sini
imtihan di sini tetap akan pergi
imtihan di sana akan menyusul pasti
imtihan di dunia mampu kita atasi
imtihan seterusnya?? lihatlah dirimu sendiri..
Posted by MOHAMAD FAIRUZ BIN TAMJIS at 5:50 AM 0 comments